APRIL 15 – Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kekecewaan berhubung sikap sesetengah pengundi Cina di Bukit Gantang yang tidak mengundi Barisan Nasional (BN), kenyataan tersebut yang disiarkan dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia bukan sahaja diputar belitkan oleh akhbar-akhbar Cina, malah beberapa pemimpin kaum itu turut ‘melenting’.
Mereka menganggap kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu tidak wajar. Malah ia juga dijadikan ‘peluru’ oleh pihak-pihak bukan Melayu untuk menyerang Umno termasuklah kolumnis dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
Tidak cukup dengan itu sebuah saluran radio berbahasa Mandarin milik kerajaan turut menjadikan ia sebagai polemik apabila selama satu jam membenarkan pendengar memberi maklum balas dan kesemua mereka ‘membelasah’ Muhyiddin.
Persoalannya, apakah kerana perkara yang dinyatakan berkaitan dengan masyarakat Cina atau India, maka mana-mana pemimpin Umno tanpa mengira setinggi mana pun kedudukannya dalam kerajaan tidak boleh membuat teguran?
Kenapakah perlu pihak-pihak tertentu terlalu sensitif dengan teguran yang dibuat. Kalaulah mereka betul-betul berjiwa sensitif, mana-mana pemimpin bukan Melayu terutama dalam MCA atau Gerakan tidak akan tergamak menuding jari ke arah Umno apabila BN mencatatkan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.
Mereka menganggap Umno menjadi punca sehingga Gerakan kehilangan kuasa di Pulau Pinang manakala MCA tewas dalam kebanyakan kerusi yang ditandingi akibat penolakan masyarakat Cina terhadap parti itu.
Justeru dalam keadaan sekarang, tidak perlulah mereka terlalu berjiwa sentimental sehinggakan seorang berjawatan Timbalan Perdana Menteri pun tidak boleh bercakap sesuatu mengenai kaum lain.
Sebenarnya, biarpun mungkin mereka mengetahui kenyataan Muhyiddin sudah diputar belitkan tetapi pemimpin-pemimpin berkenaan tidak mahu menunggu dahulu bagi mendapat penjelasan beliau, sebaliknya mereka terus dengan sewenang-wenangnya membuat kenyataan balas.
Sikap tergopoh-gapah mereka itu turut dilakukan oleh sesetengah kolumnis dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang turut mengungkit pelbagai perkara berkaitan Umno. Seolah-olah dalam apa juga perkara yang memungkinkan wujudnya kelemahan sokongan kaum Cina kepada MCA dan Gerakan, ia berpunca daripada Umno.
Sebenarnya soal ungkit-mengungkit ini tidak akan menyelesaikan masalah kerana kalau Umno mahu mengungkit jasanya kepada bukan Melayu ia sudah terlalu banyak malah terkumpul sejak sebelum merdeka lagi.
leave a comment