The Power Of SMS

GMI kecam penahanan terbaru tiga orang di bawah ISA

Posted in Uncategorized by malaysiasms on April 18, 2009

Suara Keadilan

Oleh: Rusnizam Mahat

Gabungan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (GMI) mengecam penahanan terbaru tiga orang di bawah akta kejam itu, di sebalik tindakan kerajaan membebaskan 13 tahanan ISA pada awal bulan ini.

Sehubungan itu, Pengerusi GMI, Dr Syed Ibrahim Syed Noh menyerahkan dua memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di pejabat suruhanjaya itu pada 17 April lalu berkaitan penahanan terbabit dan desakan supaya ISA segera dimansuhkan.

“GMI kesal kerana penahanan ini berlaku menjelang perlantikan perdana menteri yang baru pada 3 April lepas, di sebalik pengumuman beliau tentang 13 orang tahanan dibebaskan,”ujarnya ketika menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pesuruhjaya Suhakam, N.Sivasubramaniam.

Menurut Syed Ibrahim, tiga tahanan tersebut dikenali sebagai Agus Salim, Abdul Matin dan Johar Hassan yang ditahan di bawah seksyen 73(1) Akta ISA 1960 yang membawa kepada penahanan selama 60 hari.

Agus Salim,32 yang berasal dari Medan, Indonesia dan bekerja sebagai tukang masak ditahan di restoran Tom Yam tempatnya bekerja di Larkin, Johor pada 5 Mac lalu.

Tahanan kedua, Abdul Matin,60 pula dituduh terlibat dengan Jemaah Islamyiah (JI), ditahan di Ulu Tiram, Johor pada 1 April lalu.Beliau merupakan bapa mertua kepada tahanan ISA yang baru dibebaskan, Zaini Zakaria.

Manakala tahanan ketiga, Johar Hassan tidak mempunyai sebarang maklumat tetapi dipercayai ditahan antara bulan Mac dan April tahun ini.

“Penahanan ketiga-tiga mereka ini tidak diumumkan oleh Polis atau kerajaan dalam mana-mana saluran media. Malah ahli keluarga juga belum berjumpa tahanan. Mereka digelapkan daripada sebarang maklumat tentang keadaan tahanan dan di mana mereka ditahan,” ujar Syed Ibrahim.

“GMI mengecam tindakan penggunaan ISA yang menafikan hak perbicaraan dan hak untuk membela diri terhadap tiga individu tersebut,”katanya.

“GMI ingin mengingatkan bahawa dalam tempoh 60 hari di bawah ISA merupakan satu tempoh berlakunya proses intimidasi serta penyeksaan fizikal dan mental terhadap tahanan,”ujarnya.

Menurut beliau, dengan penahanan terbaru ini, jumlah tahanan ISA kini telah meningkat seramai 30 orang dan empat daripadanya telah ditahan selama lebih enam tahun.

Syed Ibrahim turut membidas kenyataan Perdana Menteri, Najib Razak yang mengumumkan untuk mengkaji semula akta tersebut sepertimana terkandung dalam ucapan sulungnya sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru.

“GMI, ingin menegaskan bahawa asas-asas ISA bercanggah dengan hak asasi manusia dan prinsip-prinsip keadilan, kebebasan serta kedaulatan undang-undang. ISA bukan sahaja perlu dikaji semula tetapi perlu dimansuhkan,”tegas beliau.

Sementara itu, seorang adik kepada tahanan terbabit, Junaidi Salim, yang turut hadir menyerahkan memorandum berkenaan bersama ibunya merasa bimbang mengenai penahanan abangnya di bawah akta itu dan merayu pihak Polis agar segera membebaskannya.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui penahanan itu melalui majikan di restoran tempat abangnya bekerja dan tidak pernah dimaklumkan oleh pihak polis mengenai hal itu.

“Sehingga saat ini kami tidak tahu apa salah yang telah dilakukan oleh abang saya. Jika pun benar beliau bersalah saya harap dia dihadapkan di mahkamah supaya jelas apa kesalahan beliau,”ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, Syed Ibrahim berkata antara tahanan ISA yang masih merengkok di Kamunting ialah tahanan-tahanan Hindraf, Jemaah Islamiyah, Kumpulan Darul Islam dan mereka yang ditahan atas pelbagai tuduhan termasuk terlibat dengan agensi perisikan asing.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, N.Sivasubramaniam ketika menerima memorandum terbabit mengakui tentang keperluan ISA dimansuhkan. Menurutnya, isu tersebut bukan merupakan perkara baru dan ia telah pun dibincangkan dalam mesyuarat Suruhanjaya berkenaan baru-baru ini.

“ISA adalah sebenarnya satu undang-undang yang tidak sejajar dengan hak asasi manusia,”ujarnya yang mengakui bahawa ISA turut menyebabkan kesengsaraan dan keruntuhan rumahtangga.

“Kita akan usaha sedaya upaya untuk menemui tiga orang ini kerana ia melibatkan hak asasi manusia .Sekiranya kita mendapat maklumat, kita akan memberitahu kepada GMI dan ahli keluarga tahanan terbabit,”tambah beliau.

Advertisements
Tagged with: , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: