The Power Of SMS

Jangan mudah melenting – Zulkiflee Bakar

Posted in Uncategorized by malaysiasms on April 15, 2009

The Malaysian Insider

APRIL 15 – Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kekecewaan berhubung sikap sesetengah pengundi Cina di Bukit Gantang yang tidak mengundi Barisan Nasional (BN), kenyataan tersebut yang disiarkan dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia bukan sahaja diputar belitkan oleh akhbar-akhbar Cina, malah beberapa pemimpin kaum itu turut ‘melenting’.

Mereka menganggap kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu tidak wajar. Malah ia juga dijadikan ‘peluru’ oleh pihak-pihak bukan Melayu untuk menyerang Umno termasuklah kolumnis dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Tidak cukup dengan itu sebuah saluran radio berbahasa Mandarin milik kerajaan turut menjadikan ia sebagai polemik apabila selama satu jam membenarkan pendengar memberi maklum balas dan kesemua mereka ‘membelasah’ Muhyiddin.

Persoalannya, apakah kerana perkara yang dinyatakan berkaitan dengan masyarakat Cina atau India, maka mana-mana pemimpin Umno tanpa mengira setinggi mana pun kedudukannya dalam kerajaan tidak boleh membuat teguran?

Kenapakah perlu pihak-pihak tertentu terlalu sensitif dengan teguran yang dibuat. Kalaulah mereka betul-betul berjiwa sensitif, mana-mana pemimpin bukan Melayu terutama dalam MCA atau Gerakan tidak akan tergamak menuding jari ke arah Umno apabila BN mencatatkan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.

Mereka menganggap Umno menjadi punca sehingga Gerakan kehilangan kuasa di Pulau Pinang manakala MCA tewas dalam kebanyakan kerusi yang ditandingi akibat penolakan masyarakat Cina terhadap parti itu.

Justeru dalam keadaan sekarang, tidak perlulah mereka terlalu berjiwa sentimental sehinggakan seorang berjawatan Timbalan Perdana Menteri pun tidak boleh bercakap sesuatu mengenai kaum lain.

Sebenarnya, biarpun mungkin mereka mengetahui kenyataan Muhyiddin sudah diputar belitkan tetapi pemimpin-pemimpin berkenaan tidak mahu menunggu dahulu bagi mendapat penjelasan beliau, sebaliknya mereka terus dengan sewenang-wenangnya membuat kenyataan balas.

Sikap tergopoh-gapah mereka itu turut dilakukan oleh sesetengah kolumnis dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang turut mengungkit pelbagai perkara berkaitan Umno. Seolah-olah dalam apa juga perkara yang memungkinkan wujudnya kelemahan sokongan kaum Cina kepada MCA dan Gerakan, ia berpunca daripada Umno.

Sebenarnya soal ungkit-mengungkit ini tidak akan menyelesaikan masalah kerana kalau Umno mahu mengungkit jasanya kepada bukan Melayu ia sudah terlalu banyak malah terkumpul sejak sebelum merdeka lagi.

Tetapi Umno lebih tepat lagi orang Melayu bukanlah satu kelompok yang dilahirkan untuk mengungkit segala jasa yang dilakukan. Umno sentiasa berpegang dengan prinsip persahabatan dalam BN dan cuba menyelesaikan apa juga masalah melalui perbincangan serta rundingan.

Namun senario selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 telah mengubah segala-galanya. Kaum bukan Melayu dalam MCA, Gerakan dan MIC sudah berani menyuarakan sesuatu yang bertentangan dengan semangat BN malah ada ketikanya menyentuh perasaan orang Melayu.

Ketika itu tidak pula, pemimpin-pemimpin berkenaan memikirkan kesannya kepada orang Melayu. Tetapi, apabila Muhyiddin bercakap soal membalas budi, kaum bukan Melayu kononnya terasa tersinggung dan terhina.

Mereka menggunakan istilah seolah-olah kaum mereka digambarkan meminta-minta atau mengemis bagi mendapatkan sesuatu daripada BN.

Hakikatnya sikap sensitif tidak bertempat ini harus dihentikan. Kalau pemimpin-pemimpin MCA terutamanya tidak mahu tersinggung, mereka juga jangan mudah menuding jari kepada Umno apabila tewas dalam sesuatu pilihan raya.

Dalam kita bercakap soal membalas budi, Muhyiddin berkata dalam konteks yang benar tetapi ia bukanlah bermaksud masyarakat Cina tidak tahu mengenang budi seperti mana yang diputar belitkan oleh akhbar Cina.

MCA sendiri pun pasti memahami apabila permintaan pengundi di dalam sesuatu kawasan pilihan raya dipenuhi, sudah tentulah mana-mana parti yang memenuhi permintaan berkenaan akan mengharapkan mereka akan mendapat sokongan.

Tetapi di Bukit Gantang, keadaan berlaku sebaliknya, begitu juga di Bukit Selambau apabila sekolah jenis kebangsaan Tamil dibantu tetapi BN tetap juga tewas. Apakah situasi ini tidak mengecewakan MCA atau MIC?

Sedangkan pengundi Melayu yang tidak mendapat apa-apa peruntukan meningkatkan sokongan mereka kepada BN dan Umno. Kalau begitulah sikap pengundi bukan Melayu, lebih baiklah segala peruntukan diberikan kepada pengundi Melayu, lagipun bukankah MCA tidak mahu pengundi Cina dilihat seperti ‘meminta-minta’.

Oleh itu, jika MCA ingin terus bersama-sama BN, maka mereka juga perlu memegang teguh prinsip BN dan bukannya hanya bijak mencari salah orang lain terutamanya Umno apabila kalah dalam pilihan raya.

Kepada kaum bukan Melayu pula, tidak kiralah setinggi mana pun kedudukan mereka, apa yang mereka nikmati sekarang adalah hasil perjuangan Umno.

Memang betul Umno adalah parti induk orang Melayu tetapi Umno mempunyai semangat kerjasama dan setiakawan yang tulen dengan parti-parti komponen BN yang lain.

Malah dalam pemerintahan negara, biarpun Umno menjadi pemimpin utama namun kepentingan kaum lain tidak dipinggirkan. Atas sebab itulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan gagasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Ia bertujuan untuk memastikan tiada mana-mana rakyat di negara ini ketinggalan dalam apa juga bidang, mereka akan menikmati keadilan dan kesaksamaan.

Hakikatnya, kaum bukan Melayu tidak boleh melupakan jasa Umno, kalau mereka tidak mahu dituduh tidak tahu membalas budi.

Sejak selepas pilihan raya umum lalu, kaum bukan Melayu seolah-olah mendapat suatu kekuatan baru apabila melihat orang Melayu berpecah. Justeru mereka membuat tuntutan yang bukan-bukan dan ketikanya mahu dilayan sama taraf dengan kedudukan orang Melayu.

Pelbagai permintaan dilakukan sehingga ada antaranya mahu sejarah mengenai negara ini ditulis semula kononnya atas dasar bagi mengiktiraf jasa kaum bukan Melayu.

Sebenarnya, Umno dan pemimpin Melayu negara ini tidak pernah melupakan jasa bukan Melayu dalam membangunkan negara ini tetapi ia tidaklah bermaksud sehingga terpaksa membenarkan kaum berkenaan mengamalkan sikap ‘beri betis hendak paha’.

Selepas 52 tahun kita merdeka, sepatutnya perkara-perkara yang dipersetujui bersama tidak dibangkitkan lagi, tetapi secara jujurnya apakah selepas pilihan raya umum lalu perkara itu masih dipertahankan oleh parti-parti komponen BN atau hari demi hari, ia semakin diganggu gugat?

Oleh itu, bagi mengelakkan perbalahan, perpecahan dan perpaduan kaum di negara ini tergugat, parti-parti berkenaan harus bermuhasabah. Jika mereka mahu Umno dan orang Melayu menjaga hati mereka, maka mereka juga harus tahu menjaga hati orang lain.

Advertisements
Tagged with: , , ,

2 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Pak Abu said, on April 15, 2009 at 1:35 pm

    Apa tg Muhyidin kata tu memang betul, tak boleh dinafikan lagi. Kaum Cina pun ambil tindakan yang betul..takan umno kata kat depa ..nak dok dian je. Kalau Cina kata umno amacam lak??

    Yg pentingnye memang kenyataan..takpayah masing2 bertelagah. BN menuju keruntuhan..APO NAK DIKATO ??

  2. tamilan said, on April 15, 2009 at 2:22 pm

    sekiranya benar umno tidak menafikan hak bukan melayu kenapa kaum india di negara ini mundur dari semua segi tlg jelaskan.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: