The Power Of SMS

Anwar hadir majlis kesyukuran dan ceramah di dua Bukit

Posted in Uncategorized by malaysiasms on April 13, 2009

Suara Keadilan

Anna Yusof

KUALA LUMPUR, 13 April (SK) : Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim diraikan dalam majlis kesyukuran sempena Perasmian Pusat Khidmat Bukit Selambau bersama wakil rakyat baru S Manikumar semalam.

Ini merupakan lawatan petama beliau selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat di kedua-dua Bukit minggu lalu  di Bukit Selambau dan seterusnya mengakhiri lawatannya ke Bukit Gantang.

Beliau mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penduduk Bukit Selambau dan Bukit Gantang kerana memilih ‘Perubahan’ dan kerana memilih Pakatan Rakyat,” kata Anwar.

Majlis ini juga menyaksikan Manikumar melafazkan ikrar untuk berkhidmat demi rakyat tanpa mengira sempadan kaum, agama dan perbezaan fahaman politik.

Dalam ucapan Manikumar, beliau berkata bahawa arus perjuangan baru untuk bangsa sangat diperlukan di saat politik lama masih tegar dianuti oleh segelintir walaupun diberi bungkusan baru.

“Saya mengucapkan semoga berjaya kepada rakan-rakan yang masih bersama-sama dengan proses pembungkusan semula tersebut,” jelas Manikumar.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuk Adun Padang Serai N Gobalakrisnan dan bekas naib presiden PPP V Nadarajan.

Sehubungan dengan itu, setibanya beliau di Ipoh, rombongan Anwar menuju ke kediaman Wakil Rakyat baru Bukit Gantang Nizar Jamaluddin di Sungai Rokam.

Kehadiran anggota polis yang agak ramai dari biasa di sekitar kawasan tersebut yang mahu memastikan tiada ceramah terbuka diadakan oleh Pakatan Rakyat.

“Sudah tentu mereka hadir bukan untuk menjaga keselamatan saya yang selaku Ketua Pembangkang ini, rupa-rupanya ceramah malam itu masih tidak diberi permit walhal acaranya di dalam dewan tertutup,” kata Anwar.

“Ingatkan berkumandangnya slogan ‘Perubahan’ mengiringi kabinet baru ini keadaan akan berubah, namun masih tidak ada apa yang berubah,” tegas Anwar.

Sementera itu, dalam perjalanan ke Bukit Gantang,  Anwar sempat menziarahi sahabat lamanya yang dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Beliau memberi teguran bahawa hospital Seberang Jaya kelihatan sesak dan perlu ada langkah segera dari kementerian kesihatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang selesa.

“Janganlah pula kerana Permatang Pauh sekarang di tangan Pakatan Rakyat pihak kementerian mengabaikan kesejahteraan semua, tegas beliau.

Beliau mengingatkan pada mesyuarat bahagian dan perhubungan negeri yang diadakan pada sebelah petang semalam bahawa Kemenangan pilihanraya kecil tidak boleh dijadikan alasan untuk pendokong KeADILan leka dan enak diulit khayal.

“Usaha penerangan serta pemantapan tekad juga iltizam perjuangan perlu diperhebat. Ahli parti perlu diingatkan rasuah dan gagal melaksanakan tanggungjawab hanya akan mengundang kekalahan,” tambah beliau.

“Kita tidak perlu kepada mereka yang sengaja menghampakan amanah rakyat,” kata Anwar lagi.

Tagged with:

Leave a comment